Friday, April 24, 2009

Lubang Gergasi Bumi - KOSMO

Kewujudan lubang-lubang berdiameter besar dengan kedalaman hingga beratus-ratus meter sering dianggap fenomena luar biasa.


RONGGA bumi yang digelar Devil's Sinkhole di Texas, Amerika Syarikat kini diwartakan sebagai taman negara.
--------------------------------------------------------------------------------
PASTI ramai di kalangan pengguna Internet pernah dikejutkan dengan e-mel rantaian yang menunjukkan gambar-gambar pelik dan ngeri tentang kejadian lubang gergasi di atas muka bumi.

Bagi yang curiga, kesahihan gambar seperti itu segera disangkal dengan tanggapan ia dimanipulasi perisian suntingan imej.

Dalam mencerna kesimpulan, manusia perlu mengambil kira banyak penjelasan terutama dari sudut ilmu geologi.

Antaranya adalah seperti kejadian hakisan batu kapur, pergerakan air bawah tanah ataupun impak meteor yang terjadi ratusan atau ribuan tahun sebelumnya.


LOKASI lombong berlian di bandar Mirna, Siberia ini membentuk lubang yang dilihat jelas dari angkasa.
--------------------------------------------------------------------------------

China, misalnya, mempunyai lubang gergasi atau rongga bumi terbanyak di dunia, iaitu kira-kira 50 kesemuanya. Rekod penemuan fenomena landskap alam itu dalam istilah tempatan dipanggil tiankeng.

Senarai rongga bumi di China didahului tiankeng Xiaozhai. Ia mempunyai kedalaman 660 meter dan berkapasiti 119 juta meter kubik dan dikatakan mengumpul sumber air hingga berkemungkinan menjadi punca aliran Sungai Yangtze.

"Anda boleh menyembunyikan beberapa Bangunan Empire State di dalamnya. Rakyat China sendiri tidak mengetahui tentangnya hinggalah ia didedahkan media 15 tahun lalu.

"Laluan belantara dan ketiadaan infrastruktur menyukarkan sesiapa untuk sampai ke lokasi ini," ulas pakar geologi dari Pennsylvania State University, Prof. William White.


PENENGGELAMAN tanah di Guatemala City ini berpunca daripada kebocoran sistem paip bawah tanah.
--------------------------------------------------------------------------------

White membentangkan penemuan tiankeng Xiaozhai selepas mengikuti pelawaan ekspedisi ke lokasi terpencil itu pada tahun 2005 oleh pakar dari Institut Geologi Guilin, Zhu Xuewen.

"Ciri rongga bumi sangat unik. Faktor utama yang perlu diberi perhatian adalah kemungkinan wujudnya aliran sungai bawah tanah. Ia kelihatan seperti lembah, namun jika diteliti, 'lembah' itu tidak mempunyai jalan keluar," ujar White.

Di Texas, Amerika Syarikat, rongga bumi yang digelar Devil's Sinkhole sudah dijadikan destinasi pelancongan ekstrem yang amat popular.

Penerokaannya dari sudut komersial telah menjadikan tempat itu boleh dikunjungi mereka yang mahu mencuba aktiviti seperti menuruni cenuram batu dan merentas lereng.

Paling menggemparkan adalah tentang kejadian lubang gergasi yang mengorbankan tiga mangsa di Guatemala City pada 23 Februari 2007.

Diameter lubang ini mencapai ukuran 20 meter sementara berkedalaman 204 meter. Kerosakan sistem pengaliran air banjir bawah tanah dikatakan menjadi punca bagi tragedi yang meninggalkan landskap kekal itu.

Selain lubang yang terbentuk secara alami atau tanpa diduga, terdapat juga lubang besar yang dibuat oleh manusia atas agenda perlombongan.


TIANKENG Xiaozhai tidak diketahui rakyat China sendiri sehingga ia didedahkan media 15 tahun lalu.

--------------------------------------------------------------------------------

Sebagai contoh, lombong berlian di di Mirna, Siberia meninggalkan lubang bersaiz 525 meter dalam dan berdiameter 1.25 kilometer. Saiz berbentuk kawah itu sangat jelas dikesan daripada rakaman satelit.

Impak meteor juga dipercayai menyebabkan rongga besar di dasar Laut Caribbean.

Digelar sebagai Great Blue Hole, ia merupakan sebahagian daripada Rizab Terumbu Karang Belize iaitu sebuah tapak warisan dunia seperti yang diisytiharkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Air Membentuk Kaviti

Menurut pensyarah geologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Che Abdul Aziz Ali, fenomena itu juga pernah berlaku di Malaysia tetapi tidak ketara saiznya.

"Seperti lubang berbentuk kawah bulat yang ditemui di Pulau Langkawi, ia dipercayai adalah tinggalan impak meteor suatu masa dahulu. Tenaga dan sudut hentaman itu menentukan jenis dan bentuk lubang yang terhasil pada muka bumi," terangnya.

Selain meteor, kemungkinan kes penenggelaman mengejut pada kawasan tertentu juga disumbangkan punca-punca seperti penurunan mendadak paras air bawah tanah akibat kemarau, aktiviti perlombongan, kebocoran sistem pengairan, dan tekanan beban di permukaan.


IMPAK meteor yang 'melubangkan' dasar samudera di Laut Caribbean ini diiktiraf tapak warisan UNESCO.
--------------------------------------------------------------------------------

Air, menurut Abdul Aziz, menjadi penyebab utama jika mengulas tentang proses kaviti yang membentuk rongga dalam batu kapur.

Pembentukan Gua Mulu, Sarawak dan Batu Caves, Selangor adalah contoh terbaik tentang penyusutan atau perubahan formasi batu kapur yang disebabkan oleh aliran air di bukit batu kapur.

Kalau bukan kerana kaviti yang membentuk gua, permukaan atas batu kapur boleh mengalami penenggelaman lalu membentuk lubang yang besar. Itulah misteri alam yang manusia sendiri tidak tahu bila akan terjadi.

"Air hujan adakalanya mengandungi asid yang memiliki keupayaan menghakis batu dari semasa ke semasa. Untuk jangka masa panjang, perubahan struktur akan berlaku," ujarnya yang turut memberitahu bahawa 40 peratus daripada muka bumi Kuala Lumpur terbentuk di atas batu kapur.

Manusia Punca Kerosakan Bumi - KOSMO

Seluruh dunia menyambut Hari Bumi pada hari ini. Sekadar merenung diri sendiri, apakah sumbangan yang telah anda berikan dalam usaha menyelamatkan Bumi daripada terus ‘dikasari’ oleh penghuninya?


--------------------------------------------------------------------------------
SESIAPA sahaja pasti tidak akan selesa berada di persekitaran yang dicemari dengan pelbagai bahan toksik sehingga menjejaskan kegiatan harian anda.

Persekitaran yang dahulunya menghijau dengan aliran sungai yang jernih, udara yang segar, permukaan tanah yang cantik kini hampir hancur dek kerana perbuatan dan sikap kita sendiri.

Justeru, jangan marahkan alam jika berlaku kejadian seperti tanah runtuh, sungai tercemar, banjir lumpur, banjir kilat dan lain-lain yang kesemuanya berpunca daripada perbuatan kita yang tidak menghiraukan alam sekitar.

Marahlah diri sendiri, masyarakat dan pihak berkuasa yang leka dibuai kepentingan peribadi sehinggakan segala tindakan yang dilakukan merosakkan alam.


JIKA manusia terus bersikap rakus terhadap Bumi, pelbagai ancaman bencana alam akan berlaku seperti kemarau, banjir dan ribut.
--------------------------------------------------------------------------------
Mungkinkah masih belum terlewat untuk kita menyelamatkan Bumi yang merupakan satu-satunya planet di alam semesta ini yang boleh didiami manusia. Justeru, mulakan langkah dan usaha dari sekarang dan tidak perlulah menunggu tibanya sesuatu kempen untuk kembali bersemangat memulihara alam sekitar.

Sikap keprihatinan terhadap keselamatan Bumi haruslah sentiasa bermain di fikiran seseorang bagi memastikan seruan yang dilontarkan iaitu Selamatkan Bumi Kita membekas kental di dalam jiwa.

Sekadar untuk makluman bersama, kekaguman menyaksikan kepesatan pembangunan di negara-negara maju memang tidak dapat dinafikan tetapi tahukah kita bahawa perkara itu turut memberi impak negatif kepada negara-negara lain.

Ini kerana negara-negara pesat tersebut didakwa menjadi sumber utama berlakunya pemanasan global sehingga negara mundur terpaksa menanggung kesengsaraan tersebut.


--------------------------------------------------------------------------------
"Tidak salah untuk mengejar arus pembangunan yang semakin canggih tetapi pembinaan drastik tidak seiring dengan penjagaan alam sekitar.

"Perubahan iklim tidak berlaku secara semula jadi, sebaliknya ia berpunca daripada perbuatan manusia. Hutan semula jadi contohnya perlu dipelihara dan ditanam semula, selain tidak mengetepikan khazanah laut bagi mengurangkan kemusnahan Bumi.

"Justeru, pelepasan sumber gas tercemar yang menyebabkan berlakunya pemanasan global yang memberi kesan negatif kepada kehidupan di seluruh dunia perlu dihentikan dengan segera," kata Ketua Pusat Penyelidikan Alam Sekitar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Ku Halim Ku Hamid ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.


AIS di kawasan kutub semakin mencair akibat pemanasan global.
--------------------------------------------------------------------------------
Melihat kemarahan alam yang mencetuskan krisis cuaca dan bencana seperti tanah runtuh, ribut taufan dan gempa bumi, ia secara tidak langsung memberi amaran kepada kita supaya lebih serius dalam menangani masalah persekitaran yang semakin berleluasa pada hari ini.

Jika kita terus angkuh meneruskan 'agenda merosakkan bumi', tidak mustahil krisis kekurangan bahan makanan akan melanda setiap negara di dunia dan bukannya di beberapa negara tertentu sahaja.

Mengulas lanjut, Ku Halim berkata, kajian mendapati penduduk dunia semakin terancam ekoran perubahan iklim dan Bumi lama kelamaan akan menjadi tempat yang tidak selamat lagi untuk didiami.


MASALAH pembuangan sampah di merata-rata tempat tidak pernah selesai.
--------------------------------------------------------------------------------
Apatah lagi mengetahui bahawa gas-gas yang dibebaskan sebelum ini terkumpul di atmosfera sejak berpuluh-puluh tahun lamanya. Itu bermakna meskipun punca-punca pelepasan gas tercemar tidak lagi wujud, ia tidak akan menghentikan pemanasan global dengan segera.

"Secara amnya, perubahan ini berlaku di seluruh dunia kerana perubahan pembangunan. Pelepasan gas ke ozon telah banyak mengganggu cuaca serta pencairan ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan yang meningkatkan paras air laut," ulasnya.

Eksekutif Pendidikan Persatuan Alam Semula Jadi Malaysia, Evelyn Lim Ai Lin berkata, kesedaran masyarakat di negara ini berhubung isu pemanasan global masih di tahap yang rendah.

"Saya sedar ramai di antara kita tidak mampu meluangkan masa sepenuhnya untuk bersama-sama menyertai kempen memelihara Bumi.


PELBAGAI kempen dijalankan untuk kesedaran orang ramai.
--------------------------------------------------------------------------------
"Namun, itu bukannya alasan untuk anda tidak mengetahui apa yang perlu dilakukan bagi membantu Bumi berada di dalam keadaan selamat," katanya.

Jelasnya, sudah banyak diperkatakan tentang apa yang boleh disumbangkan oleh setiap individu bagi memastikan persekitaran Bumi sentiasa sihat.

"Bagi saya, pendekatan terbaik untuk berhadapan dengan isu alam sekitar adalah memperkukuhkan sikap sivik yang perlu diasuh dan diamalkan oleh setiap individu. Ia boleh bermula di peringkat rumah dengan amalan yang cukup ringkas.

"Amalan terbaik dan mudah yang boleh membantu membaik pulih keadaan Bumi, antaranya penjimatan penggunaan elektrik dan air, menjaga kebersihan sungai dengan tidak membuang sampah dan bahan bertoksin ke dalamnya serta tidak menarah bukit sesuka hati," katanya.


BUMI yang didiami tidak mampu bertahan lama jika arus pembangunan terus merosakkan alam semula jadi.
--------------------------------------------------------------------------------
Apabila perkara asas sedemikian tidak dapat dilaksanakan oleh orang ramai dan pihak tertentu maka suatu hari nanti, penduduk akan bertambah gusar melihat persekitaran mereka yang semakin rosak.

Meskipun negara semakin giat mencipta pelbagai teknologi canggih tetapi tahukah anda ia tidak mampu menyelesaikan masalah yang kian menghantui dunia hari ini.

"Bukan mudah untuk mengubah sikap manusia supaya memikirkan kepentingan dunia untuk diduduki pada masa kini dan pada masa akan datang untuk generasi seterusnya," ujarnya.

Destinasi Maut Gunung Everest - KOSMO


MASIH ramai menjadikan gunung Everest sebagai destinasi pendakian terulung walaupun menyedari bahaya yang menanti.
--------------------------------------------------------------------------------
SEPANJANG Mac hingga Jun pada setiap tahun, para pendaki tegar akan menjadikan Gunung Everest sebagai lokasi 'percutian' mereka.

Gunung berketinggian 8,850 meter dari paras laut itu terletak di banjaran Himalaya dan menjadi pilihan terbaik pendaki untuk menghabiskan cuti dengan melengkapkan misi mendaki mereka.

Menjadi persoalan hari ini, kenapa masih ramai yang cuba menjadikan Gunung Everest sebagai destinasi pendakian terunggul walaupun menyedari kedatangan mereka ke sana seolah-olah mahu menghantar nyawa. Ini kerana setiap tahun, pasti ada pendaki menemui ajal dalam ekspedisi mendaki gunung tertinggi di dunia itu.

Pasukan penyelidik antarabangsa yang diketuai oleh Paul Firth dari Hospital Massachusetts, Amerika Syarikat, melaporkan bahawa sebanyak 212 kes kematian berlaku dari tahun 1921 hingga 2006 di gunung berkenaan.

Pendaki biasanya berhadapan dengan bahaya seperti suhu yang terlalu sejuk, angin kencang, perubahan cuaca yang terlalu mendadak dan runtuhan salji.

Ia adalah sebahagian daripada risiko dan bahaya yang menanti setiap pendaki yang memilih lokasi pendakian di kawasan beku itu sebagai tempat bercuti. Mereka boleh menemui ajal serta-merta apabila terdedah pada persekitaran suhu di bawah paras beku.

Begitu juga, paras oksigen yang begitu rendah iaitu sekitar 36 peratus di sekitar puncak Everest membuatkan sesiapa sahaja yang memilih untuk mendaki gunung itu seperti menempah maut untuk diri sendiri.

"Tiada seorangpun mangsa mati diserang Yeti atau makhluk lain," kata Firth merujuk kepada mitos 'orang salji' yang dikatakan wujud di pergunungan Himalaya itu.

Katanya, masih terdapat kes kematian yang belum dipastikan puncanya, namun sebahagiannya berpunca daripada Serebrum Edema.

Dalam situasi ini, kandungan oksigen pada paras yang rendah menyebabkan saluran darah selebral bocor di sekeliling tisu otak dan menyebabkan pembengkakan.

Kebanyakan kematian berlaku di ketinggian lebih 8,000 meter di Zon Maut dan kerap kali melibatkan mereka yang sudah sampai di puncak serta mahu turun semula.

Zon Maut yang terletak pada paras 7,500 meter atau 25,000 kaki ke atas itu menawarkan kubur kepada pendaki untuk bersemadi di celah-celah rekahan ais dan salji.

"Pendaki yang mati di ketinggian 8,000 meter adalah kerana mereka mengalami gejala-gejala neurologi atau hilang keupayaan diri," jelas Firth.

Kajian turut menunjukkan 1.3 peratus pendaki yang memanjat gunung tersebut telah berkubur di Everest.

Bagaimanapun, dalam kalangan pendaki tegar yang memilih gunung-gunung beraltitud tinggi, kejadian seperti itu tidaklah memeranjatkan.

Melihatnya Sebelum Lenyap - KOSMO

Situasi sekarang menyaksikan ribuan pelancong dari seluruh dunia mengadakan lawatan ke destinasi yang dianggap mereka akan pupus dan musnah akibat pemanasan global dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
--------------------------------------------------------------------------------

SETIAP tahun, hampir beribu-ribu pelawat dari seluruh dunia menjadikan gunung Kilimanjaro di sempadan utara Tanzania, air terjun Victoria dan Safari di Zimbabwe sebagai destinasi percutian paling unggul untuk dilawati.

Kehadiran pencinta alam dan pendaki yang mahu menyaksikan keajaiban glasier dan hidupan liar, sambil menikmati pemandangan alam yang penuh dramatik itu tidak pernah putus sepanjang tahun.

Bagi mereka, melihat sendiri panorama kehidupan alam semesta, umpama memberi suatu petunjuk dan kebenaran telus bahawa dunia mampu memiliki segala-galanya.

Namun, pada hari ini, peluang melihat keunikan alam itu hanyalah sementara. Akibat kekangan politik, hidupan liar menjadi kian terancam.


KEHIDUPAN liar di Safari Afrika juga akan terancam akibat pengecilan saiz hutan hujan tropika.
--------------------------------------------------------------------------------
Zimbabwe kini bukan lagi sebuah destinasi percutian terunggul. Negara itu kini berdepan dengan pelbagai kritikan dari seluruh dunia ekoran sektor pelancongannya yang dikatakan lebih banyak membawa kemusnahan.

Kritikan itu dikeluarkan oleh pakar-pakar alam sekitar yang bimbang melihat jumlah pelancong asing yang semakin meningkat untuk melihat sendiri keajaiban yang ditawarkan oleh Zimbabwe. Limpahan pelancong yang tidak terkawal itu dipercayai akan memusnahkan alam semula jadi di negara tersebut.

Pengarang majalah TravelAge West, Ken Shapiro berkata, kerosakan beberapa destinasi pelancongan di Zimbabwe boleh mengecilkan saiz hutan hujan tropika.

Disebabkan fenomena itu, para pelancong mempercayai bahawa tarikan itu akan musnah dalam beberapa tahun akan datang sekali gus membuatkan generasi masa hadapan tidak dapat melihatnya lagi.

"Ia berlaku akibat perubahan iklim yang mengancam hidupan dan alam semula jadi dunia," ujarnya.

Beliau mengakui destinasi tertentu di beberapa bahagian di dunia kini menjadi tumpuan pelancong yang yakin bahawa satu perubahan besar akan berlaku di destinasi-destinasi tersebut dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

"Sebelum terlambat dan sebelum perubahan itu berlaku, lebih baik mereka berkunjung ke sana untuk melihat sendiri keajaiban alam semula jadi yang mempesona.

"Setakat hari ini, mereka berpeluang melihat banyak perkara menarik termasuk yang ekstrem," tambahnya.

Shapiro dalam laporan agensi pelancongannya menjelaskan bahawa, permintaan perjalanan ke destinasi tersebut semakin bertambah dan kajian mendapati peningkatan itu berlaku kerana pelancong mahu melihat sendiri proses yang menyebabkan glasier di Antartika mencair, ancaman karang di Australia Great Barrier Reef atau saiz glasier yang semakin mengecil di Gunung Kilimanjaro, Tanzania.

"Mereka mahu melihatnya sekarang sementara ia masih ada. Jika telah tiada nanti akibat pemanasan global, destinasi-destinasi itu akan menjadi lipatan sejarah,'' ujarnya.


KEHIDUPAN beruang polar di bandar Churchill, Kanada kian terancam disebabkan pencairan glasier.
--------------------------------------------------------------------------------
Presiden Pelancongan Afrika Albida, Ross Kennedy memberitahu, beliau telah menyertai pesta pelancongan selama lima hari di Madrid, Sepanyol. Katanya, trend pelancongan kini mempunyai kaitan dengan kesedaran persekitaran dalam sektor pelancongan.

"Perubahan persekitaran memperlihatkan bahawa dunia kini sedang berhadapan dengan suatu kenyataan dan membuatkan sesetengah orang berfikir, kita perlu mendapatkannya," katanya.

Kesahihannya terbukti apabila berlakunya peningkatan jumlah pelancong asing ke rumah persinggahan safari di Zimbabwe. Firma pelancongan itu beroperasi berhampiran air terjun terbesar di Afrika, Victoria Falls.

Tapak tersebut sesuai sebagai satu titik permulaan untuk melakukan perjalanan safari di sepanjang sungai Zambezi di sempadan utara Zimbabwe. Dalam perjalanan itu, pelancong boleh melihat hidupan liar yang semakin terancam.

Walaupun bimbang dengan isu pergolakan politik, masalah inflasi, penyebaran wabak taun di Zimbabwe, Kennedy berkata, perolehan syarikat itu akan terus meningkat sebanyak 1/4 peratus sepanjang tahun 2008.

Manakala di pasaran Amerika Syarikat, tumpuan pelancong ke Afrika menyaksikan sebanyak 4,035 bilik telah ditempah pada tahun lalu. Ia memperlihatkan peningkatan sebanyak tiga kali ganda berbanding tahun 2004.


KEINDAHAN gunung Kilimanjaro begitu memukau mata pengunjungnya.
--------------------------------------------------------------------------------
Shapiro menambah, populariti lawatan bagi melihat sendiri glasier yang cair di Antartika turut melonjak naik secara mendadak.

Menurut salah seorang kakitangan Persatuan Pelancongan Antarabangsa Antartika, lebih daripada 46,000 pelancong telah melawat benua itu sepanjang tahun 2007 hingga 2008.

"Pengasingan dan hidupan penguin liar yang unik, anjing-anjing laut, burung-burung dan ikan paus begitu menarik perhatian," katanya.


PARA pengunjung berpeluang melihat banyak perkara yang berlaku di gunung Kilimanjaro termasuk sesuatu yang ekstrem.
--------------------------------------------------------------------------------
Seorang pelancong memberitahu, kehadirannya ke situ bukanlah semata-mata untuk mencari ketenangan, malah mahu melihat sendiri apa yang sedang berlaku.

"Kedatangan kami ke sini adalah untuk menyaksikan sendiri fenomena pencairan glasier, walaupun dari jauh.

"Pengalaman terbaik kami adalah peluang melihat sendiri proses glasier mencair dan mengecil. Melihatnya seakan-akan memberi keinsafan kepada kita tentang apa yang akan berlaku dalam kehidupan manusia pada masa hadapan. Dan kami adalah insan paling bertuah kerana dapat melihatnya sebelum ia lenyap," jelasnya panjang lebar.

Selain Zimbabwe, industri pelancongan yang dikesan membawa kemusnahan turut direkodkan di bandar Churchill, utara Kanada.


RAMAI pengunjung mengambil kesempatan melihat sendiri keajaiban air terjun Victoria Fall di sempadan Zambia dan Zimbabwe sebelum terlambat.
--------------------------------------------------------------------------------
Pelawat mengambil kesempatan melihat beruang kutub yang datang dari pedalaman kampung dan kini dianggap kian terancam disebabkan pencairan ais laut.

"Salah satu sebab mengapa Churchill akan diteruskan dalam peta pelancong adalah disebabkan oleh beruang kutub," ujar Shapiro lagi.

Populasi spesies beruang polar menjadikan negara itu dikenali sebagai Polar Bear Capital of the World.